Gaya Hidup Moden Punca Wanita Semakin Kurang Bersenam

0
107

Perubahan gaya hidup yang semakin moden dan terlalu bergantung kepada peralatan mesin dalam kehidupan seharian menyebabkan golongan wanita di negara ini semakin kurang bersenam, kata seorang pensyarah sukan.

Ketua Unit Sains Sukan Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Chen Chee Keong berkata 80 peratus daripada wanita yang telah dinilai mengaku kurang bersenam.

“Kebanyakan mereka tidak bersenam kerana beberapa faktor seperti tidak mempunyai masa yang cukup, kurang pengetahuan tentang senaman, perubahan dalam gaya hidup dan terlalu bergantung pada mesin seperti mesin basuh, mesin pengering kain, dan mesin pencuci pinggan mangkuk,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu membentangkan kertas kerja bertajuk “Penilaian dan Promosi Kecergasan Berkaitan Dengan Kesihatan Dalam Kalangan Wanita Pertengahan Umur” pada Seminar Sains Sukan ke-7 anjuran USM.

Dr Chen berkata soal kurang bersenam tidak boleh dipandang ringan oleh golongan wanita, ini kerana lama-kelamaan ia boleh menyebabkan timbulnya penyakit kronik seperti sakit jantung, kencing manis, strok dan obesiti.

Menurutnya golongan wanita perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya 20 minit sehari dan tiga kali seminggu untuk melakukan senaman.

“Banyak cara yang boleh dilakukan, kerja rumah juga boleh dijadikan satu bentuk senaman, bersenam tidak semestinya perlu berjoging di taman atau pun membeli peralatan senaman yang mahal-mahal,” katanya.

Beliau berkata antara senaman yang boleh dipraktikkan dengan mudah oleh golongan wanita ialah melakukan tarian poco-poco, bermain dengan anak-anak di taman, mengemas rumah dan berjalan kaki atau berjalan laju.

“Aktiviti seperti ini bukan sahaja dapat menguruskan badan, melancarkan perjalanan darah dan menyihatkan jantung tetapi dalam masa yang sama dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan,” katanya.

Dr Chen berkata golongan wanita, terutama yang berkerjaya dikesan lebih cenderung menggunakan jalan mudah untuk kelihatan kurus dan ramping, iaitu dengan menggunakan krim sapu dan ubat kurus yang banyak dijual di pasaran.

“Biasanya, golongan wanita bekerja paling berisiko untuk mempunyai berat badan tidak ideal kerana waktu makan mereka yang tidak menentu.

“Mereka juga lebih suka memilih makanan segera yang lebih cepat dan mudah diperolehi berbanding makanan sempurna manakala kerja rumah juga lebih banyak bergantung kepada orang gaji.

Membantu mengemas rumah…

“Kalau betul ada krim sapu yang boleh hilangkan lemak sekelip mata, tentu tak ada lagi masalah berat badan berlebihan, tentu ramai orang kita yang kurus dan ramping,” katanya.

Jelas beliau, pada asasnya tiada jalan singkat untuk mendapatkan kesihatan yang unggul melainkan dengan melakukan senaman yang kerap dan memakan pemakanan yang seimbang

Facebook Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here