Site icon Asia Fitness Today

Cegah Strok Di Usia Muda: Ketahui Risiko, Simptom dan Rawatan

Kes strok di kalangan generasi muda kini semakin meningkat namun terdapat cara untuk mencegah, mengurus dan pulih dengan bantuan rehabilitasi robotik

Angin Ahmar ataupun Strok merupakan antara punca utama yang menyebabkan kematian dan kecatatan kekal di serata dunia. Juga dipanggil sebagai ‘serangan otak’, strok boleh dibahagikan kepada dua jenis: strok iskemik yang berlaku apabila salur darah arteri ke bahagian otak tersumbat, atau strok berdarah (haemorrhagic) yang berlaku apabila salur darah arteri ke bahagian otak pecah Menurut Persatuan Angin Ahmar Kebangsaan Malaysia (NASAM), strok di kalangan golongan muda kini semakin meningkat dengan 15% daripada kes strok iskemik dialami oleh pesakit dewasa dan remaja. Hal ini menunjukkan bahawa terdapat kepentingan bagi golongan muda untuk mengambil langkah proaktif untuk menjaga kesihatan mereka seterusnya menghindari strok daripada berlaku.

Dr Kok Chin Yong, Pakar Perunding Neurologi dan Perubatan Dalaman daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) berkongsi bahawa pada tahun 2016, 40% dari kes strok yang memerlukan kemasukan ke hospital melibatkan pesakit yang berusia 60 tahun ke bawah 1 . Pakar kesihatan juga melihat bahawa terdapat trend peningkatan strok iskemik dalam kalangan pesakit muda yang sudah bekerja. “Bagaimanapun, adalah lebih baik jika strok dapat dikesan awal kerana terdapat lebih banyak jenis rawatan yang dapat diberikan,” tambahnya.

Apa penyebab strok di usia muda dan bagaimana untuk menghindarinya?

Terdapat pelbagai risiko yang boleh menyebabkan strok termasuklah merokok, kurang melakukan aktiviti fizikal dan tekanan darah tinggi. Kajian menunjukkan bahawa golongan muda lebih terdedah kepada risiko strok oleh kerana gaya hidup mereka yang tidak aktif, tabiat pemakanan yang tidak sihat, masa skrin (screen time) berlebihan serta peningkatan pengambilan minuman beralkohol dan merokok.

“Faktor vaskular seperti penyakit tekanan darah tinggi dan diabetes, dan faktor persekitaran seperti pencemaran udara juga telah dikenalpasti sebagai antara faktor yang boleh menyebabkan strok. Satu lagi faktor risiko yang sering diabaikan adalah Obstructive Sleep Apnea (OSA) atau keadaan di mana seseorang itu kerap berhenti bernafas ketika tidur dan penggunaan dadah terlarang seperti amfetamin dan heroin yang boleh menyebabkan gangguan saluran darah seterusnya membawa kepada kedua-dua jenis strok,” hurai Dr Kok.

Namun begitu, Dr Kok juga berkongsi bahawa terdapat faktor risiko yang jarang berlaku namun masih boleh terjadi di kalangan dalam populasi yang lebih muda. Antaranya ialah Moyamoya syndrome (gangguan serebrovaskular yang jarang berlaku dan bersifat progresif disebabkan oleh arteri tersumbat), sindrom antifosfolipid yang boleh menyebabkan pembekuan darah tidak normal) serta masalah jantung abnormal. Untuk mengurangkan risiko ini, beliau menyarankan bahawa orang ramai perlu mengamalkan gaya hidup sihat seperti bersenam dengan kerap dan mengamalkan diet seimbang.

Dr Kok sangat tidak menggalakkan penggunaan dadah rekreasi dalam apa jua cara atau bentuk, kerana penyalahgunaan dadah dan dos berlebihan boleh menyebabkan saluran darah menjadi sempit dan membawa kepada strok. Beliau menambah bahawa tekanan atau stres juga secara tidak langsung boleh membawa kepada tingkah laku yang tidak sihat.

“Adalah sangat penting untuk kita semua belajar mengenalpasti tekanan ini dan cara untuk menanganinya. Sebagai contoh, jika tekanan boleh membawa kepada masalah tidak boleh tidur, maka anda perlu bertindak dan menangani masalah ini. Ini kerana tidur yang tidak cukup boleh memberi kesan kepada sistem imun badan dan boleh menyebabkan keabnormalan dalam darah dan jantung, lalu mungkin boleh menyebabkan strok juga,” katanya.

Bagaimana cara mengenalpasti simptom strok pada orang muda?

Antara simptom-simptom strok yang biasa berlaku termasuk bahagian muka jatuh atau meluyut ke bawah, lemah atau kebas pada anggota badan dan kesukaran untuk bertutur. Dr Kok menekankan bahawa simptom penyakit strok adalah hampir sama bagi pelbagai peringkat umur. Kata kunci yang orang ramai perlu sentiasa ingati ialah “BE FAST” yang bermaksud B untuk masalah keseimbangan (balance) atau pening, E untuk masalah mata (eye)/visual, F untuk muka meluyut ke bawah (facial dropping), A untuk lengan atau kaki lemah atau kebas (arm or leg weakness or numbess) dan S untuk gangguan pertuturan (speech disturbance). Untuk penilaian lanjut, doktor akan menggunakan skala strok yang ditetapkan seperti skala strok dari the National Institutes of Health Stroke Scale (NIHSS) untuk menentukan tahap keseriusan strok pesakit. Semakin tinggi skor skala strok, semakin seriuslah keadaan pesakit.

Apabila bercakap mengenai rawatan strok, masa adalah penting – oleh itu, apabila seseorang individu menyedari bahawa terdapat sesuatu yang tidak kena pada tubuh mereka, jangan sesekali berlengah-lengah dari melawat hospital terdekat untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya. Ini bukan sahaja dapat memberi gambaran yang lebih baik kepada doktor tentang apa yang berlaku pada pesakit, tetapi juga memberikan peluang yang lebih tinggi untuk pesakit menerima dan mendapat hasil terbaik daripada
rawatan.

Proses pemulihan dan rehabilitasi pesakit strok

Ia tidak dapat dinafikan bahawa rawatan dan rehabilitasi adalah aspek penting dalam plan pesakit untuk kembali pulih. Namun terdapat banyak faktor-faktor yang akan diambil kira sebelum dan semasa proses pemulihan strok. Menurut Dr Foong Chee Choong, Pakar Perunding Perubatan Rehabilitasi, rehabilitasi adalah aspek penting dalam sesebuah proses pemulihan. Justeru itu, pesakit perlu memilih lokasi yang dilengkapi dengan kepakaran dan alatan yang tepat untuk membantu mereka kembali pulih.

Beliau juga menyatakan bahawa proses pemulihan dan jenis rawatan setiap pesakit adalah berbeza dan tiada dua pesakit akan mempunyai progress pemulihan yang sama. Dengan mengambil kira perkara ini, doktor perlu menilai keadaan pesakit terlebih dahulu seterusnya mencadangkan plan rawatan yang bersesuaian dan berkesan dengan keperluan keadaan pesakit.

Beliau juga menyatakan bahawa proses pemulihan dan jenis rawatan setiap pesakit adalah berbeza dan tiada dua orang pesakit akan mempunyai progress pemulihan yang sama.

Dengan mengambil kira perkara ini, doktor perlu menilai keadaan pesakit terlebih dahulu seterusnya mencadangkan plan rawatan yang bersesuaian dan berkesan dengan keperluan keadaan pesakit.

Selain daripada itu, usia adalah faktor penting dalam pemulihan penyakit strok. “Pesakit strok yang lebih muda berpeluang tinggi untuk mendapat hasil rawatan rehabilitasi yang lebih baik serta mendapatkan semula mobiliti dan pulih dengan lebih cepat. Walau bagaimanapun, pesakit strok yang lebih tua juga akan mendapat manfaat yang baik daripada program rehabilitasi strok yang betul,” tambah Dr Foong.

Dr Foong menjelaskan bahawa teknologi rawatan rehabilitasi di Malaysia telah semakin maju dan antara salah satu pendekatan terkini yang telah diterima pakai secara meluas sejak sedekad lalu ialah penggunaan mesin exoskeleton dalam meningkatkan keupayaan mobility pesakit strok. Peranti EksoNR ini bersifat versatile dan memberi manfaat bukan sahaja kepada pesakit strok tetapi juga kepada penyakit-penyakit lain seperti kecederaan saraf tunjang, lumpuh pada bahagian bawah badan, kecederaan otak traumatic, penggantian sendi, osteoarthritis, penyakit parkinson, cerebral palsi dan lain-lain lagi.

Manfaat menggunakan bantuan robotik dalam pemulihan strok ialah ia menyediakan latihan intensif dengan respons yang sangat tepat, dan ini adalah penting dalam memperbaiki sebarang pergerakan dan fungsi badan. Selain itu, peranti robotik boleh menyediakan pelbagai peringkat bantuan yang diperlukan pelbagai tahap penyakit boleh menggunakan dan mendapat kelebihan daripada mesin ini. Dengan bantuan teknologi robotik, kebiasaannya ia akan mengambil masa antara 1 hingga 3 bulan untuk melihat sebarang peningkatan dalam keupayaan untuk berjalan di kalangan pesakit strok.

“Pesakit dan keluarga mereka perlu mempunyai matlamat, sentiasa bermotivasi tinggi dan banyakkan bersabar kerana sebarang proses pemulihan akan memerlukan masa dan usaha untuk memberi kesan,” Dr Foong menyimpulkan.

Secara keseluruhannya, golongan muda perlu mengutamakan gaya hidup sihat dan mengambil langkah proaktif dalam menjaga kesihatan mereka. Dengan mengenalpasti risiko, mengenali gejala dan meneruskan langkah pemulihan, mereka boleh mencegah strok dan meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan tubuh secara keseluruhan.

Rujukan: https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/34512127/

Teks dan foto dibekal oleh Pusat Perubatan Sunway Velocity.


Adakah anda suka artikel ini?

Kongsikannya:

AsiaFitnessToday.com Cegah Strok Di Usia Muda: Ketahui Risiko, Simptom dan Rawatan boleh dikongsi edarkan secara Creative Commons Attribution-ShareAlike 4.0 International license. Sumber petikan: https://www.asiafitnesstoday.com/?p=14211&lang=ms

Share this:
Exit mobile version