Site icon Asia Fitness Today

Sunway Healthcare Group sebar kesadaran diabetes diluar dan dalam

Sunway Healthcare Group (SHG) telah mempersembahkan kempen kesedaran perubatannya, KNOW DIABETES sekali lagi dengan sebuah pameran di Sunway Pyramid baru-baru ini. Dirumus untuk menyuluh aspek pencegahan dan pengurusan diabetes sempena Hari Diabetes Sedunia, kempen ini
menampilkan pameran KNOW DIABETES, di samping koleksi stoking eksklusif yang ditenun
sendiri oleh Komuniti Tukang Jahit (KTJ), di mana seluruh hasil perolehan yang terkumpul akan
disalurkan kepada Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan, serta e-buku panduan diabetes yang
serba komprehensif.

Kempen KNOW DIABETES bermatlamat untuk meningkatkan pemahaman orang ramai
mengenai diabetes dengan mempelajari kaedah pencegahannya, termasuk cara menjaga dan
mengawal kondisi kesihatan ini. Kempen ini juga bertujuan untuk memaksimumkan jumlah
warga Malaysia yang mampu katakan ‘TIDAK’ kepada diabetes atau komplikasinya yang lebih
serius.

Berjaya menarik 260,000 tontonan pada tahun 2021 melalui siri webinar empat bahagian yang
menampilkan warga profesional dan pakar kesihatan dari Sunway Healthcare Group, SHG
bermatlamat untuk mendidik dan melibatkan individu-individu dari pelbagai latar belakang dan
kumpulan usia di Pameran KNOW DIABETES 2022, untuk meyakinkan mereka bahawa
dengan hanya membuat perubahan kecil, mereka boleh menghindari komplikasi diabetes yang
lebih serius pada kemudian hari.

Dato’ Lau Beng Long, Presiden Sunway Healthcare Group berkongsi, “Kami berbesar hati atas
sambutan yang diterima bagi kempen KNOW DIABETES kami tahun lalu biarpun dilatari
pelbagai rintangan daripada COVID-19, dan pada tahun ini, kami amat gembira kerana
berpeluang untuk berinteraksi dengan para pengunjung di ruang pameran kami di Sunway
Pyramid. Malaysia menyaksikan populasi diabetes yang tertinggi di Asia dan antara yang
tertinggi di dunia, sekali gus memaksa negara kita untuk membelanjakan sekitar RM4.4 bilion
setiap tahun menurut laporan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Kementerian
Kesihatan Malaysia. Tanpa pemahaman dan pengurusan yang betul untuk penyakit ini, kes
aktif di negara kita dijangka mencecah angka 7 juta atau hampir 1 dalam 3 orang dewasa
menjelang tahun 2025.”

“Memandangkan ramai warga Malaysia yang tidak sedar tentang risiko penyakit diabetes, saya
berharap kempen ini dapat terus menjadi platform bagi mendidik dan menggalakkan rakyat
Malaysia untuk mengambil tindakan ke arah mencegah, mengurus dan merawat diabetes.
Sunway Healthcare Group, dengan sokongan jaringan multidisiplin kami, bersedia untuk
membantu orang ramai mengurus masalah diabetes mereka agar mereka dapat menjalani
kehidupan dengan sebaiknya,” kata Dato’ Lau.


Para pengunjung pameran KNOW DIABETES dapat mengambil bahagian dalam aneka aktiviti
yang menyeronokkan dan informatif, termasuk permainan ‘Spin the Wheel’, cabaran
kecergasan oleh Celebrity Fitness, dan ujian glukosa diabetes percuma oleh Sunway Medical
Centre.
Pelbagai peraduan juga telah diadakan di pameran tersebut dan akan diteruskan di laman
Facebook SHG, di mana peserta berpeluang untuk memenangi hadiah-hadiah seperti RealMe
Watch 2 Pro dan sebuah pengalaman makan mewah oleh chef berbintang Michelin di Sunway
Resort bernilai RM900 untuk dua orang.
Turut membuat penampilan tahun ini ialah WDD Socks Collection, tercetus melalui kolaborasi
dengan KTJ untuk membawa kesedaran mengenai impak diabetes ke atas lima anggota tubuh
yang utama, iaitu mata, buah pinggang, saraf, kaki dan jantung. Mereka akan membuka jualan
di pameran tersebut dan semua hasil perolehan yang terkumpul akan disalurkan kepada
Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan. Koleksi stoking ini dibuat dari hati oleh para tukang jahit
wanita yang mahir di bawah KTJ, sebuah perusahaan sosial tempatan didedikasikan untuk
memperkasa wanita B40 Malaysia dengan menaik taraf kemahiran, melatih dan membuka
peluang pekerjaan agar mereka dapat berdikari.

Buku panduan pengurusan diabetes yang terkini dikarang oleh Dr. Alexander Tan dari
Sunway Medical Centre Sunway City dan Dr. Lim Kim Piow dari Sunway Medical Centre
Velocity KL pada tahun lalu juga bertujuan untuk menggalakkan lagi usaha menyebarkan
kesedaran dan pengetahuan mengenai diabetes di Malaysia.

Sila layari www.sunwaymedical.com/educational-materials/ untuk memuat turun salinan buku tersebut –
disediakan dalam tiga bahasa: Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, dan Mandarin.

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen KNOW DIABETES dan untuk mengambil bahagian
dalam peraduan dalam talian, sila layari laman Facebook rasmi SHG di
www.facebook.com/sunwayhealthcare.

Share this:
Exit mobile version